Pages

Thursday 21 June 2012

Dia Yang Ku Kenali..


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم



Di kala detik ini, saat ini ku tatap satu persatu gambarnya. Dorongan jariku menjadi semakin pantas untuk menekan next dan next. Mata ini masih mencari-cari adakah benar si dia ini yang pernah ku kenali satu ketika dahulu ? Tanpa ku sedari menitis air mata ini jatuh ke pipi bak titisan hujan yang jatuh ke dada bumi. Hatiku menjadi kian sebak dan hiba. Linangan kali ini menjadi semakin deras seperti derasnya air di sungai.

Terlintas di hati, "Ya Allah, bagaimana dengan sekelip mata dia boleh mengubah dirinya menjadi seseorang yang hampir tidak ku kenali ? Kuatkanlah dia dalam menghadapi ujianMu ini. Sedarkanlah dia dari mimpinya yang ternyata benar-benar menguasainya. Kembalikanlah dia ke jalanMu, ya Allah. Janganlah Engkau biarkan dia terus leka dan hanyut dalam arus dunia yang semakin hari semakin kejam dan dahsyat ini."

Dialah, seseorang yang ku kenali sejak dari alam sekolah rendah lagi. Kami satu kelas, sama-sama gemar subjek Maths. Sama-sama saling belajar dan mengajar. Tidak dinafikan, dia juga merupakan salah seorang murid yang boleh dikatakan cerdik dalam subjek matematik sewaktu di kelas dulu. Detik yang tidak dapat dilupakan, kami sama-sama saling berlumba mendapatkan Gred A dalam subjek ini. Riangnya mengenangkan saat itu.

Singgah pula ke alam sekolah menengah, kami telah jarang bertemu, kerana masing-masing belajar di sekolah yang berasingan. Tetapi hakikatnya, jodoh kami masih kuat lagi kerana sekolah ku berjiran dengan sekolahnya. Apabila aku berada di Tingkatan 2, kami pulang ke rumah dengan menaiki bas yang sama. Kerana ketika di usia inilah diriku baru mula berjinak-jinak untuk menaiki bas harian biasa pulang ke rumah. Dia pula telah berpengalaman sebelum ini.

Pada mulanya, agak kekok. Dengan keadaan dalam bas yang seperti tin sardin, telah menyebabkan ramai hamba Allah yang berdiri. Tambahan lagi, dengan suasana percampuran lelaki dan perempuannya lagi di dalam bas, menyebabkan mataku jadi terbatas untuk memandang dan hanya melihat pemandangan di luar cermin. 

Pernah ketika di dalam bas, ku ditegur oleh seorang lelaki yang mengucapkan salam dan bertanyakan sekolahku. Aku cuma sempat memandang dan senyum kepadanya. Mungkin juga kehairanan apabila melihat satu-satunya perempuan yang bertudung labuh di dalam bas ketika itu, menyangkakan aku dari sekolah Arab. Itulah salah satunya peristiwa di dalam bas yang membuatkan aku tersenyum sendirian mengenangkannya kembali. 

Jadi, di kesempatan inilah kami gunakan untuk bersembang dan beramah mesra setelah sekian lama tidak bersua. Hanya melalui pemerhatian, di situ jugalah ku belajar daripadanya tentang cara berdikari sendiri pulang ke rumah. Dalam tempoh masa ini, sedikit demi sedikit ku lihat dirinya sudah mula ada perubahan. Kini, hidupnya bukan lagi berseorangan seperti dulu. Kerana, kini dia telahpun berteman, seorang teman yang dikatakannya begitu istimewa. 

Pada mulanya, sedikit terkejut saat ku mendengar berita ini, tapi tidak ku zahirkan padanya. Sebaliknya, ku cuba untuk menyelami dunianya dan dirinya dengan bertanyakan lagi tentang perhubungan tersebut. Mengapa ? Kerana Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada kita agar berdakwah dengan cara yang berhikmah. Jadi, aku cuba untuk tidak terus bertindak sebarangan tanpa memikirkan dahulu kesannya. Soalan demi soalan ku bertanya untuk mengetahui tentangnya. Dapat juga ku pelajari ilmu-ilmu baru untuk mengetahui dan memahami persekitaran masyarakat pada ketika itu.

Salah satu peristiwa yang masih segar dalam memori ingatanku hinggalah ke saat ini apabila dia menceritakan kepadaku bahawa dia tidak dapat menghadiri sebuah kem kerana tidak diizinkan oleh teman istimewanya itu, dan dia kelihatan redha. Sebab yang diberikan oleh kekasihnya itu, kerana dia telah terlalu kerap menghadiri kem di sekolahnya. Di saat ini, hatiku berdetik "Begini rupanya fenomena orang bercouple. Seorang kekasih sudah sama pula tarafnya dengan seorang suami. Hurmm..."

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Alhamdulillah kini kami telahpun berada di alam menara gading yang tersergam indah. Dia kini seorang mahasiswi di UiTM, dan aku pula seorang mahasiswi di UTeM. Kami tidak pernah bertemu sejak sekian lamanya. Sampailah ke hari ini, ku 'bertemu' dengannya semula melalui gambar-gambarnya yang di upload di facebook.

Pada awalnya untuk sekilas pandang, mata ini tidak dapat mengenalpasti adakah dia ini yang ku kenali satu ketika dulu. Setelah satu persatu gambar yang kutatap, maka benarlah tekaan hati kecilku. Tepat sekali ! Inilah dia ! Cuma, apa yang ku kesalkan, kini dia sudah tidak lagi bertudung seperti dulu. Alangkah sedihnya apabila satu-satu gambar tersebut mengundang duka di hati ini. Sedangkan dahulu, kami sekelas, sama-sama belajar, dan semuanya boleh dikatakan sering bersama. Tapi kini, dia...... 

Oh, Allah. Kami sudah sekian lama tidak berhubung. Hidupnya kini kelihatan begitu bebas. Apakah langkah yang patut ku lakukan, sebagai seorang rakan untuk membantunya di saat ini? Walaupun mulutnya tidak berbicara, tetapi imannya meluahkan bahawa dia memerlukan seseorang yang dapat menarik semula tangannya ke arah jalan yang ditunjuki-Mu. Kerana kini dia masih lagi diulik mimpi-mimpi yang mempesona dan begitu melenakan. Mata hatinya masih lagi tertutup dengan keasyikan dunia oleh 'Sang Buaya-buaya yang lapar' di luar sana. Selamatkanlah dia ya Rahim. Lembutkanlah hatinya dengan alunan kalimah-kalimah-Mu. 

Maka, benarlah seperti kata-kata asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, bahawa 

"Nafsu yang berada dalam diri kamu itu adalah sasaran utama bagi kamu. Jika kamu berjaya menundukkannya, maka untuk yang selainnya itu adalah lebih mudah."

"Kekanglah rontaan hawa nafsumu dengan pandangan akal fikiranmu, dan terangilah akal fikiranmu dengan nyalaan nalurimu dan selongkarilah hakikat kebenaran di alam khayalanmu yang diibaratkan seperti kilatan kilat yang menyambar."

Saidina Ali pula pernah berkata, 

"Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjedi kapten untuk bahtera hidupnya."

Hamka pula menukilkan bahawa,

"Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman, akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun dan berangan-angan, tetapi akal menyuruh menimbang."

Imam al-Ghazali pula menterjemahkan bahawa,

"Kebahagiaan itu terletak pada kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak yang berlebih-lebihan."

Segala-galanya bersangkut paut dengan hawa nafsu. Seperti sabda Rasulullah s.a.w. bahawa jihad yang paling besar itu adalah jihad berperang melawan hawa nafsu. 

Diriku ini tidak begitu baik dan sempurna, cuma ku harap agar dia sempat tersedar dari lena, selagi masih terbuka luas pintu taubat untuknya. Semoga dia tidak terus mengalah dalam menghadapi ujian-Mu ini. dan Mudah-mudahan seperti pinta dalam doaku, insyaallah dia masih lagi digelar 'mutiara' dan diberi hidayah oleh Allah. Amin ya Rabb.

Ya Allah, ku bersyukur atas nikmat ISLAM dan nikmat IMAN yang telah dikurniakan untukku sehingga ke hari ini. Alhamdulillahi Rabbil 'alamin. Janganlah Engkau tarik kembali nikmat yang paling berharga yang telah Engkau hadiahkan buatku, musafir hina ini.




2 comments:

  1. sis,perkara yang terbaik adalah kita mendoakannya agar kembali ke fitrah yang asal. Para ulama' pun sudah mengariskan, apabila kita lihat seseorang yang 'kurang' fikrah islamnya, maka kita rendahkan diri kita dan letak kita adalah lebih hina dari itu.Disamping, kita doakan, agar diri kita dan juga perlakuan si dia tidak akan tersasar dari redha Allah swt.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah, syukran sis@bro. ya, itulah yg sy lakukan hari demi hari, berdoa utknya. kerna DOA lah yg menjadi senjata mukmin, yg bersaksikan bhw Tiada Tuhan Melainkan Allah. entri ini sememangnya sebagai satu renungan utk sama2 kita muhasabah diri, bhw hidayah itu hanya milik Allah, dan bukan milik manusia. Sedangkan Rasulullah, KEKASIH ALLAH tdk berkuasa dan tdk mampu meng islam kn bapa saudara baginda sendiri, Abu Talib. inikan pula kita, manusia biasa yg hina dgn dosa2.

    tiada manusia pun yg berhak merendahkan diri hamba Allah yg lain. kita tdk layak utk merasa bangga diri dan 'ujub dgn diri kita yg sedia ada skrg. kerna pada bila2 masa shj Allah boleh tarik kembali nikmat yg bermakna itu. kerna HANYA Rasulullah lah sebaik-baik manusia.

    apa2 pn terima kasih. sama2 kita doakan utk dia yg sy kenali dan kita semua juga, agar sentiasa berada dlm redha Allah. sekiranya kita ingat Allah, insyaallah Allah juga akan mengingati kita.

    buat semua, mari sama2 kita renungkan Hadis akhir zaman ini, riwayat Ahmad dan Tarmizi, daripada Anas r.a., Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Tidak akan berlakunya Hari Kiamat sehingga tidak lagi disebutkan di atas muka bumi ini kalimah ALLAH ! ALLAH !"

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...