Pages

Thursday 21 June 2012

Dia Yang Ku Kenali..


بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم



Di kala detik ini, saat ini ku tatap satu persatu gambarnya. Dorongan jariku menjadi semakin pantas untuk menekan next dan next. Mata ini masih mencari-cari adakah benar si dia ini yang pernah ku kenali satu ketika dahulu ? Tanpa ku sedari menitis air mata ini jatuh ke pipi bak titisan hujan yang jatuh ke dada bumi. Hatiku menjadi kian sebak dan hiba. Linangan kali ini menjadi semakin deras seperti derasnya air di sungai.

Terlintas di hati, "Ya Allah, bagaimana dengan sekelip mata dia boleh mengubah dirinya menjadi seseorang yang hampir tidak ku kenali ? Kuatkanlah dia dalam menghadapi ujianMu ini. Sedarkanlah dia dari mimpinya yang ternyata benar-benar menguasainya. Kembalikanlah dia ke jalanMu, ya Allah. Janganlah Engkau biarkan dia terus leka dan hanyut dalam arus dunia yang semakin hari semakin kejam dan dahsyat ini."

Dialah, seseorang yang ku kenali sejak dari alam sekolah rendah lagi. Kami satu kelas, sama-sama gemar subjek Maths. Sama-sama saling belajar dan mengajar. Tidak dinafikan, dia juga merupakan salah seorang murid yang boleh dikatakan cerdik dalam subjek matematik sewaktu di kelas dulu. Detik yang tidak dapat dilupakan, kami sama-sama saling berlumba mendapatkan Gred A dalam subjek ini. Riangnya mengenangkan saat itu.

Singgah pula ke alam sekolah menengah, kami telah jarang bertemu, kerana masing-masing belajar di sekolah yang berasingan. Tetapi hakikatnya, jodoh kami masih kuat lagi kerana sekolah ku berjiran dengan sekolahnya. Apabila aku berada di Tingkatan 2, kami pulang ke rumah dengan menaiki bas yang sama. Kerana ketika di usia inilah diriku baru mula berjinak-jinak untuk menaiki bas harian biasa pulang ke rumah. Dia pula telah berpengalaman sebelum ini.

Pada mulanya, agak kekok. Dengan keadaan dalam bas yang seperti tin sardin, telah menyebabkan ramai hamba Allah yang berdiri. Tambahan lagi, dengan suasana percampuran lelaki dan perempuannya lagi di dalam bas, menyebabkan mataku jadi terbatas untuk memandang dan hanya melihat pemandangan di luar cermin. 

Pernah ketika di dalam bas, ku ditegur oleh seorang lelaki yang mengucapkan salam dan bertanyakan sekolahku. Aku cuma sempat memandang dan senyum kepadanya. Mungkin juga kehairanan apabila melihat satu-satunya perempuan yang bertudung labuh di dalam bas ketika itu, menyangkakan aku dari sekolah Arab. Itulah salah satunya peristiwa di dalam bas yang membuatkan aku tersenyum sendirian mengenangkannya kembali. 

Jadi, di kesempatan inilah kami gunakan untuk bersembang dan beramah mesra setelah sekian lama tidak bersua. Hanya melalui pemerhatian, di situ jugalah ku belajar daripadanya tentang cara berdikari sendiri pulang ke rumah. Dalam tempoh masa ini, sedikit demi sedikit ku lihat dirinya sudah mula ada perubahan. Kini, hidupnya bukan lagi berseorangan seperti dulu. Kerana, kini dia telahpun berteman, seorang teman yang dikatakannya begitu istimewa. 

Pada mulanya, sedikit terkejut saat ku mendengar berita ini, tapi tidak ku zahirkan padanya. Sebaliknya, ku cuba untuk menyelami dunianya dan dirinya dengan bertanyakan lagi tentang perhubungan tersebut. Mengapa ? Kerana Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada kita agar berdakwah dengan cara yang berhikmah. Jadi, aku cuba untuk tidak terus bertindak sebarangan tanpa memikirkan dahulu kesannya. Soalan demi soalan ku bertanya untuk mengetahui tentangnya. Dapat juga ku pelajari ilmu-ilmu baru untuk mengetahui dan memahami persekitaran masyarakat pada ketika itu.

Salah satu peristiwa yang masih segar dalam memori ingatanku hinggalah ke saat ini apabila dia menceritakan kepadaku bahawa dia tidak dapat menghadiri sebuah kem kerana tidak diizinkan oleh teman istimewanya itu, dan dia kelihatan redha. Sebab yang diberikan oleh kekasihnya itu, kerana dia telah terlalu kerap menghadiri kem di sekolahnya. Di saat ini, hatiku berdetik "Begini rupanya fenomena orang bercouple. Seorang kekasih sudah sama pula tarafnya dengan seorang suami. Hurmm..."

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Alhamdulillah kini kami telahpun berada di alam menara gading yang tersergam indah. Dia kini seorang mahasiswi di UiTM, dan aku pula seorang mahasiswi di UTeM. Kami tidak pernah bertemu sejak sekian lamanya. Sampailah ke hari ini, ku 'bertemu' dengannya semula melalui gambar-gambarnya yang di upload di facebook.

Pada awalnya untuk sekilas pandang, mata ini tidak dapat mengenalpasti adakah dia ini yang ku kenali satu ketika dulu. Setelah satu persatu gambar yang kutatap, maka benarlah tekaan hati kecilku. Tepat sekali ! Inilah dia ! Cuma, apa yang ku kesalkan, kini dia sudah tidak lagi bertudung seperti dulu. Alangkah sedihnya apabila satu-satu gambar tersebut mengundang duka di hati ini. Sedangkan dahulu, kami sekelas, sama-sama belajar, dan semuanya boleh dikatakan sering bersama. Tapi kini, dia...... 

Oh, Allah. Kami sudah sekian lama tidak berhubung. Hidupnya kini kelihatan begitu bebas. Apakah langkah yang patut ku lakukan, sebagai seorang rakan untuk membantunya di saat ini? Walaupun mulutnya tidak berbicara, tetapi imannya meluahkan bahawa dia memerlukan seseorang yang dapat menarik semula tangannya ke arah jalan yang ditunjuki-Mu. Kerana kini dia masih lagi diulik mimpi-mimpi yang mempesona dan begitu melenakan. Mata hatinya masih lagi tertutup dengan keasyikan dunia oleh 'Sang Buaya-buaya yang lapar' di luar sana. Selamatkanlah dia ya Rahim. Lembutkanlah hatinya dengan alunan kalimah-kalimah-Mu. 

Maka, benarlah seperti kata-kata asy-Syahid Imam Hassan al-Banna, bahawa 

"Nafsu yang berada dalam diri kamu itu adalah sasaran utama bagi kamu. Jika kamu berjaya menundukkannya, maka untuk yang selainnya itu adalah lebih mudah."

"Kekanglah rontaan hawa nafsumu dengan pandangan akal fikiranmu, dan terangilah akal fikiranmu dengan nyalaan nalurimu dan selongkarilah hakikat kebenaran di alam khayalanmu yang diibaratkan seperti kilatan kilat yang menyambar."

Saidina Ali pula pernah berkata, 

"Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjedi kapten untuk bahtera hidupnya."

Hamka pula menukilkan bahawa,

"Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman, akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun dan berangan-angan, tetapi akal menyuruh menimbang."

Imam al-Ghazali pula menterjemahkan bahawa,

"Kebahagiaan itu terletak pada kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak yang berlebih-lebihan."

Segala-galanya bersangkut paut dengan hawa nafsu. Seperti sabda Rasulullah s.a.w. bahawa jihad yang paling besar itu adalah jihad berperang melawan hawa nafsu. 

Diriku ini tidak begitu baik dan sempurna, cuma ku harap agar dia sempat tersedar dari lena, selagi masih terbuka luas pintu taubat untuknya. Semoga dia tidak terus mengalah dalam menghadapi ujian-Mu ini. dan Mudah-mudahan seperti pinta dalam doaku, insyaallah dia masih lagi digelar 'mutiara' dan diberi hidayah oleh Allah. Amin ya Rabb.

Ya Allah, ku bersyukur atas nikmat ISLAM dan nikmat IMAN yang telah dikurniakan untukku sehingga ke hari ini. Alhamdulillahi Rabbil 'alamin. Janganlah Engkau tarik kembali nikmat yang paling berharga yang telah Engkau hadiahkan buatku, musafir hina ini.




Tuesday 19 June 2012

Israk Mikraj : Iman Mengatasi Akal



بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم


Israk Mikraj merupakan satu peristiwa yang tidak logik apabila dikifirkan oleh akal manusia yang lemah, tetapi ia memang benar-benar berlaku sekiranya dinilai oleh iman. Inilah antara pengajaran terpenting di sebalik peristiwa tersebut selain daripada kewajipan solat serta keadaan-keadaan penghuni syurga dan neraka.

     Keputusan yang dibuat oleh iman mestilah mengatasi akal, sebagaimana yang telah direalisasikan oleh Sayidina Abu Bakar r.a. yang menatijahkan pangkat "al-Siddiq" kepada beliau. 

     Peristiwa ini telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri dengan panjang lebar dan telah diriwayatkan oleh tokoh-tokoh muktabar dalam ilmu hadis. Bahkan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim telah memperuntukkan satu bab khas mengenai peristiwa Israk dalam kitab masing-masing. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

     "Sesungguhnya telah didatangkan kepadaku buraq (berwarna putih, saiznya tinggi melebihi keldai dan lebih kecil daripada baghal) lalu aku menunggangnya sehingga tiba di Baitulmuqaddis. Aku menambatnya di halakah pintu Masjid al-Aqsa, kemudian aku masuk ke dalamnya dan menunaikan solat dua rakaat. Seterusnya aku keluar dan Jibril telah datang dengan dua buah bekas yang mengandungi arak dan susu, lantas aku memilih bekas yang mengandungi susu. Jibril berkata, 'Engkau telah memilih fitrah.'" (Riwayat Imam Muslim, Kitab Iman, bab al-Isra' jld. 34)

     Hadis ini agak panjang bahkan kepelbagaian riwayat-riwayat lain menjadikannya lebih menarik dan mengandungi banyak hikmah yang boleh digali. Walau bagaimanapun saya tidak bermaksud menghuraikannya satu persatu di sini. Hanya satu iktibar yang ingin dikongsi bersama pembaca, iaitu apabila bertembung antara akal dan nas (al-Quran dan hadis), maka orang Mukmin mestilah mengutamakan nas. Inilah hakikat iman.


Iman vs Akal

     Dalam Sirah Ibn Hisham, disebut bahawa wujudnya individu-individu yang telah murtad disebabkan peristiwa Israk Mikraj. Mereka telah mengutamakan akal dalam menilai peristiwa ini. Mana mungkin, perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa sebulan pergi dan sebulan balik, didakwa oleh Rasulullah s.a.w. hanya berlaku dalam satu masa sahaja.

     Sayidina Abu Bakar al-Siddiq dan para sahabat telah menunjukkan contoh yang sangat unggul apabila terus mengetepikan logik akal apabila mendengar ungkapan Rasulullah s.a.w. dan ayat al-Quran (iaitu surah al-Isra', ayat 1) berkenaan peristiwa tersebut. Mereka membuktikan keimanan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap apa jua yang disampaikan oleh Baginda s.a.w.

     Telah zahir dua kelompok golongan Islam ketika itu, satu kembali murtad dan sekelompok lagi semakin mantap keimanan mereka. Demikian kedua-dua golongan ini akan terus wujud dalam kalangan umat ini apabila bertembungnya iman dan akal dalam sesuatu isu. Semoga Allah sentiasa membimbing kita untuk terus berada dalam orbit keimanan al-Siddiq r.a.


Jadikan Prinsip Hidup

     "Apabila bertembung antara akal dan nas (al-Quran dan hadia), maka nas mesti diutamakan." Sewajarnya kaedah ini dijadikan prinsip dalam kehidupan. Walaupun pada hakikatnya akal yang benar dan tulus akan sentiasa selaras dengan nas, tetapi kadang-kadang manusia sering tewas apabila nafsu yang menguasai akal. 

     Sebagai contoh dalam dunia perniagaan, ada yang menggunakan akal lalu mengatakan bahawa mustahil boleh berjaya sekiranya tidak menipu dan terlibat dengan rasuah atau riba. Tetapi golongan Mukmin akan bertegas bahawa nas (al-Quran dan hadis) melarang perbuatan tersebut dan keimanan menjamin bahawa rezeki ditentukan oleh Allah s.w.t.

     Demikian juga ketika mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah jenayah seperti kecurian, rompakan, pembunuhan dan sebagainya yang berleluasa, nas (al-Quran dan hadis) telah menjelaskan tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil untuk mengatasinya, bahkan mengandungi pencegahan agar jenayah tersebut tidak berulang lagi. Namun masih terdapat golongan yang tidak beriman mencari jutaan alasan untuk "memenangkan" logik mereka. Maka akibatnya, jenayah semakin berleluasa.

     Begitu juga apabila wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pentadbiran sesebuah negara sama ada di Timur atau Barat, maka terdapat pelbagai rujukan dalam nas yang terhimpun selama 10 tahun Rasulullah s.a.w. mengurus dan mentadbir negara Islam Madinah dan juga disusuli oleh Khulafa' al-Rashidin. Malangnya apabila akal diutamakan lalu berbangga dengan tamadun Barat atau Timur ciptaan manusia yang dangkal, maka ketika itu manusia akan terus meraba-raba dalam kegelapan dan tidak akan menjumpai jalan keluar daripada masalah-masalah yang wujud.

     Kiaskan kaedah ini dalam segenap urusan hidup kita walaupun pada saat golongan logik akal menunjukkan majoriti dan akibatnya mungkin menyakitkan. 

     Allah menjanjikan pertolongan-Nya pasti akan mengiringi golongan yang mengutamakan iman. Moga peristiwa Israk Mikraj bukan sahaja untuk menyedapkan telinga yang mendengarnya saban tahun, tetapi ia menjadi satu manhaj aqidah yang jelas dan tegas, bagi melayakkan kita untuk bersama-sama Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak, di belakang panji keimanan yang dibawa Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.



Ustaz  Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang
Lulusan ijazah Pengajian Islam,
Universiti Sains dan Teknologi, Yaman.
Mursyid (mentor) Imam Muda Astro Oasis.
Pendakwah bebas dan sering muncul di TV & Radio.
Antara guru beliau ialah Sheikh al-Zindadi
dan Muhammad bin Ismail al-Imrani,
Dr. Abdul Karim Zaidan.
(E-mel: ssahabat@yahoo.com)






Friday 15 June 2012

Formula Muslimah Berfikrah Islamiyyah itu...



بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم




Islam merupakan ajaran Allah yang lengkap, sempurna, syumul dan merangkumi seluruh aspek kehidupan mukmin. Inilah Addeen yang diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dan telah dilaksanakan sejak zaman awal diutuskan Rasulullah S.A.W. ke bumi ini.

Allah S.W.T. telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaan Islam dalam firmanNya:


اليوم أكملت لكم دينكم و أتممت عليكم نعمتي و رضيت لكم الإسلام دينا


Yang bermaksud, 

"..Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu.." (Surah Al-Maidah : 3)


Oleh kerana Deenul Islam telah sempurna, maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita hendaklah menyedari bahawa, kita adalah pengikut dan penganut Deenul Islam dan mengakui sebagai hamba Allah dan bukannya pencinta Deen.

Oleh yang demikian, maka kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu yang harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita, dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah :

"Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanyalah membuat kebohongan." (Surah Al-An'am : 116)

Nilai yang ada pada diri kita juga ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan oleh Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. Oleh yang demikian, tidak dapat tidak, sebagai hamba Allah kita wajib redha pada syariat Islam.

Tasawwur Islami (gambaran Islam) hendaklah difahami dengan betul, dan kita hendaklah bersifat jiddiah (serius) dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukkan dengan isme-isme lain.

Untuk itu, kita hendaklah mengenali Islam dan mengenali jahiliyyah. Mengenal Islam untuk dihayati dan mengenal jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa bentuk dan taktik jahiliyyah untuk dijauhi, dengan itu barulah kita dapat membezakan antara pembawakan jahiliyyah atau Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W. : "Barangsiapa mengenal atau mempelajari bahasa sesebuah kaum, maka mereka terselamat dari tipu daya mereka."

Selain itu, kita juga mesti mengenali atau menguasai realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Untuk memahami Islam dan realitinya, kita sememangnya kekurangan ilmu, oleh itu berhajat atau perlu kepada berjama'ah (berkumpulan). Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang sama atau setaraf, tetapi dengan berjama'ah (berkumpulan), kita mampu mengatasinya.

Di samping itu, antara sikap yang mesti ada ialah, kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan berasaskan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti "demi perjuangan", "demi kemajuan" atau "malam amal". Dalam hal ini kita hendaklah mengenengahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang tegas kepada masyarakat.

Setiap individu muslim juga mesti mempunyai al-Wa'yu al-Islami (kesedaran Islam), Ianya tidak sama dengan ilmu Islam kerana dalam usaha untuk memperolehi "kesedaran Islam" perlu kepada kesabaran, ketekunan dan kegigihan dalam berusaha.

Seseorang yang mempunyai "kesedaran Islam" akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam. Untuk itu, kita perlukan kepada didikan atau tarbiyyah. Tarbiyyah yang boleh melahirkan sahsiah atau keperibadian muslim sejati. 

Seorang mujahid Islam, Ustaz Fathi Yakan menyatakan bahawa, pembentukan sahsiah itu hanyalah dapat dibentuk dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Antara contohnya, dengan mengadakan halaqah, ijtima' dan sebagainya.



Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah islam pun dari pemikirannya. Sesiapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam adalah dikira menyeleweng.

Ketahuilah bahawa, fikrah yang kita bawa adalah ad-deen yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Ad-Deen yang dimaksudkan di sini bukanlah ad-deen yang diterjemahkan kepada agama sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang. Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu al-Qur'an dan Hadith dan juga dari ulama' dan mujahid Islam yang muktabar.

Allah S.W.T. telah memberi kata putus dan memberi pilihan kepada hamba-hambaNya sama ada beriman atau tidak, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Dan katakanlah (Muhammad), Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; barang siapa menghendaki (kafir) biarlah dia kafir. Sesungguhnya Kami telah menyediakan neraka bagi orang zalim, yang gelojaknya mengepung mereka. Jika mereka meminta pertolongan (minum), mereka akan diberi air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan wajah. (Itulah) minuman yang paling buruk dan tempat istirehat paling jelek." (Surah al-Kahfi : 29)  

Oleh itu, sebagai hamba, kita hendaklah berfikiran jauh, iaitu memikirkan tentang kedudukan dan nasib kita pada hari akhirat kerana kita tidak tahu di manakah tempat yang bakal diduduki sama ada syurga atau neraka. Dek kerana ceteknya pengetahuan akal seorang hamba dan ketidaktahuan ini, maka hendaklah kita mempunyai sifat takut dan berharap. Takut ialah bagi yang mengenaliNya, dan harap bagi yang melaksanakan suruhanNya.

Iltizam kita kepada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga, kita perlu kepada "kesedaran Islam yang jelas" dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam yang sebenarnya. Sekiranya di peringkat individu muslim sudah tidak berjaya untuk menguasai pemahaman Islam secara tulus, maka bagaimana untuk membawa penghayatan Islam secara sepenuhnya dalam konteks masyarakat.

Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman atau tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan keinginan untuk melaksanakan Islam dan juga diiringi dengan Iradah (kehendak atau keinginan). Maksudnya, di mana sahaja kita berada kita membawa Islam. Ini juga bererti, peribadi kita menterjemahkan Islam. (Islam menjadi darah daging).

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa, dalam melalui proses tersebut masih terdapat saki baki jahiliyyah. Oleh itu, penting bagi seseorang muslim untuk mengetahui apakah ciri-ciri jahiliyyah dan apa sahaja yang berkaitan dengannya supaya ianya menjadi panduan kepada kita untuk menjauhkan diri dari aspek-aspek jahiliyyah tersebut.

Apabila melihat kepada konteks muslimah, yang mana muslimah juga merupakan individu-individu muslim yang perlu berfikrah dengan fikrah Islamiyyah yang jelas, maka selayaknya bagi seseorang muslimah itu untuk memakaikan dirinya dengan pakaian Islam yang indah yang menterjemahkan keindahan dan pengetahuan yang berlandaskan fikrah Islamiyyah dalam membentuk masyarakat dan mad'u di sekelilingnya.

Muslimah adalah di antara penyumbang terbesar ke arah jatuh bangunnya sesuatu Bangsa atau Negara. Oleh itu, wahai muslimah yang dianugerahkan oleh Allah dengan sifat-sifat dan kelebihannya yang tersendiri, laksanakanlah setiap amanah yang dipundakkan dengan sebaiknya dan jauhilah daripada menjadi pendorong kepada perkara-perkara yang dimurkai oleh pencipta agung kita, Allah S.W.T. 


Risalah أيتها الفتيات (Bil : 6)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...